Monday, October 24, 2011

Relakan Pepisahan Demi Cinta















Kadangkala aku sendiri kebingungan. Bila ditusuk soalan demi soalan. Bagi yang telah merasa cinta… Bagi yang belum merasanya. Cinta tidak habis-habis diperkatakan, walaupun telah berkali-kali aku pesankan bahawa cinta itu bukan Tuhan!


Dulu aku pernah mengingatkan diri sendiri, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Namun, mengapa hati masih tidak mahu percaya? Kekadang, jalan berapi ditempuh jua. Ah, bujukan nafsu terlalu melulu. Sudah terantuk baru terngadah. Sudah berdarah, baru berubah.

Pada remaja yang terus bertanya… Pada ’retua’ yang terus meminta… satu kepastian, satu panduan… terus-terang kukatakan aku sendiripun terus bertanya dan terus meminta. Tidak mungkin aku memberikan apa yang aku tidak punya! Tetapi itu bukan alasan untuk menyerah. Mencari dan terus mencari, itulah yang lebih berharga. rasa belum memiliki adalah modal terpenting untuk memiliki cinta… cinta Allah.

Itulah cinta pertama dan cinta utama. Walaupun sudah berkali-kali kalimah itu disebutkan, tetapi yang mendengar cuma telinga dan akal, bukan jiwa dan hati. Hati masih tuli… Jiwa masih alpa… Bila dia berani berkata dan merasa, cinta yang dicari lebih baik daripada cinta yang ditemui!

Pada sahabatku yang selalu berkongsi lewat sms dan email, pada saudara/i yang terus meluahkan cerita dan berita melalui wadah Gentarasa ini, sudi apalah kiranya berhenti sejenak dalam kelelahan bercinta. Mari kita istirehatkan hati dengan…

Relakanlah perpisahan itu demi cinta

 Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi “manusia lain”? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.

Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita mula terserlah. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.

 Pernah kita baca di dada akhbar  bagaimana kelohan seorang isteri yang telah disimbah asid oleh suaminya. Katanya, “setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran.” Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar. Benarlah cinta itu buta.
Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizikal sehingga tidak punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita ‘gunakan’ cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Al hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realiti tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.   

 Dari ustaz Pahrol Mohd Juoi

No comments:

Post a Comment