Monday, October 31, 2011

Seawal Perkenalan (Bahagian 1)

Kenangan yang sentiasa mengusik hatinya itu sudah pun berlalu 10 tahun yang lalu. Namun, dia merasakan bagaikan semalam perkara itu berlaku dalam hidupnya. Lama dia termenung memikirkan apakah yang perlu dia lakukan. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan kini. Terlalu pantas masa berlalu.

Walau bagaimanapun, kenangan terindah semusim berlalu itu bagaikan baru berlaku di dalam hidupnya. Kenangan manis itu masih tetap segar diingatannya sehingga kini. Entah apa khabarnya orang di sana. Hatinya kembali merindui suasana yang amat harmoni dalam hidupnya yang mana satu tika dahulu pernah hadir walau sekejap cuma.

Hati terus dilamun perasaan yang entah apa maknanya dalam hidup ini. Ya Allah bantulah diriku andai itu yang terbaik baut diri ini.. Teringat dia dengan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh seorang 'sahabatnya' itu :

Mahukah enti menjadi wanita muslimah dan mukminah yang solehah? Seorang muslimah dan mukminah yang solehah tidak akan menunjukkan dirinya pada mana-mana lelaki yang bukan mahram kita dan sentiasa menjaga harga dirinya. Sentiasa mengelakkan diri daripada bahan fitnah dan sentiasa menundukkan pandangan. Ana tidak mahu anti terjerat dengan fitnah dan menjadi bahan fitnah. Sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.
Argh! Mengapakah kenangan itu terus menghantui diriku.. Bisik hati Najla seorang diri. Sudah puas dia cuba jauhi dan buang namun dia masih tidak mampu Ya Allah... Pernah satu tika dahulu Najla buat solat hajat  untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah siapakah bakal suaminya. Jelas sudah Najla tahu dan dapati dialah orangnya tapi saat itu dia cuba tepis segala persoalan dan petunjuk yang telah Allah berikan. Petunjuk yang Allah berikan sama dengan peristiwa yang dialami beberapa bulan kemudian sewaktu mereka terpilih untuk ke luar negara atas urusan universitinya. Hati terus diusik dan dibuai dengan kenangan semalam.
****************************************
Mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan STPM akhirnya dapat menempatkan Najla ke IPTA di ibu kota. Hatinya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana hajatnya telah dimakbulkan Allah. Pertama kali mendaftarkan diri sebagai pelajar kampus, dia merasakan dirinya perlukan pengisian rohani.

Sudah seminggu Najla telah sah sebagai pelajar kampus dan melalui Minggu Suai Kenal. Akhirnya Minggu Suai Kenal yang menyeksakan untuk pelajar-pelajar baru pun tamat. Pada hari terakhir Minggu Suai Kenal itu tamat, semua pelajar 'freshie' dibenarkan pulang ke kampung masing-masing. Najla dan beberapa orang rakannya tidak melepaskan peluang itu.

Dalam perjalanan ke kampung sedang masing-masing pelajar baru menunggu bas atau pun teksi, Najla tertarik dengan seorang pelajar lelaki yang pada pandangan matanya amat baik dan beradab.
Najla mula mencari peluang untuk berbual dengan pelajar lelaki itu. 

"Hai, assalamualaikum." Najla memulakan perbualan. Tersengih-sengih macam kerang busuk dah lagaknya.

"Waalaikumussalam. Oh. Awak." jawab siswa itu sambil tersenyum kepada Najla.

"Awak, awak nak balik kampung ke?" Tanya Najla dengan harapan dapat berbual lama dan siswa itu membalasnya.

"Eh, tak lah. Nak pergi jalan-jalan KL. Ish, dia ni. Saya nak balik la. Dah awak ni nak ke mana?" Jawab siswa itu sambil kerut-kerut kening lihat perangai Najla.

Najla pula tersengih-sengih. Dalam hati berkata, layan juga dia dengan perempuan. Ingat tak layan dah aku tadi.

"Eh, awak nak ke mana? Saya tanya sengih-sengih pulak. Geram pulak kita," sambut siswa itu lagi.

"Sama lah..saya nak balik kampung. Tak kan nak jalan pulak kan?" 

"Awak, kalau nak ke Puduraya naik apa eh?" Siswa itu mula bertanya. Mungkin dia nak perbualan kami lagi panjang ke? Tak kan tak tahu nak naik apa? Adui dia ni.

"Naik kapal terbang, awak. Kalau nak ke sana. Saya pun nak ke sana juga." Jawab Najla loyar buruk dan kenakan siswa itu.

"Eh dia ni! jawablah betu-betul. Naik apa? Dia cakap naik kapal terbang la plak," bebel siswa itu sambil bulatkan mata pada Najla.

"Haaa..tu naik bas rapid KL. Dah sampai bas tu. Jom naik sama-sama. Karang awak kena tinggal. Ke awak nak naik teksi berdua dengan saya?" Sakat Najla sambil menunjukkan ke arah bas yang telah sampai.

"Ish, awak ni memanglah budak nakal a.k.a jahat. Suka kenakan orang ye. Siap awak kalau kita jumpa lagi." Ugut siswa tersebut sambil sama-sama menunggu bas yang telah pun di depan mata.

Hatinya gembira kerana salam perkenalannya telah disambut oleh siswa tersebut. Sebenarnya dia amat meminati siswa itu sejak dari awal Minggu Suai Kenal lagi tetapi tiada peluang untuk bertegur sapa memandangkan siswa itu merupakan seorang yang berpenampilan seperti 'ustaz'.

Najla sangat gembira kerana perbualan pertamanya dengan siswa itu telah mendapat sambutan dan ini membuktikan bahawa siswa itu walaupun berpenampilan seperti 'ustaz' dia tetap menyambut sapaan Najla. Kisah itu berakhir di situ apabila masing-masing meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju. 

Dalam hati, dia tetap mahu dapatkan siswa tersebut dan cuba menawan hati siswa tersebut walaupun jenuh rakan-rakanya menasihati bahawa siswa tersebut tidak akan melayani mana-mana perempuan kerana siswa tersebut adalah seorang yang menjaga pandangannya.

Genaplah sudah sebulan Najla sibuk dengan kuliah dan tutorialnya. Maklumlah pelajar 'freshie'. Jadi bersemangatlah sedikit ke kuliah dan lain-lain. Dalam sebulan di kampus itu, Najla sudah mula membiasakan diri dengan kehidupan sebagai mahasiswa universiti. Dia tekad mahu berlajar dengan bersungguh-sungguh untuk masa depannya. Najla yang cepat menyesuaikan diri akhirnya dapat menyertai beberapa projek dan program yang dianjurkan oleh kampus tersebut.

Begitu gembiranya hati Najla kerana siswa yang telah menarik perhatiannya juga turut serta dalam program kampusnya. Girang hatinya dan inilah peluang sekali lagi untuk dia cuba mendekati siswa itu. Namun, dia sering diperingatkan dengan kata-kata Allah agar jangan mendekati zina. Najla akur dengan amaran Allah agar membataskan perhubungan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya.

No comments:

Post a Comment