Semasa darjah satu, aku telah terbaling seorang budak lelaki dengan sebongkah kayu. Adui..Apa aku dah buat ni? Luka dari dan kepala budak tu sampai darah mengalir laju. Kecut jugak perut. Nak tahu kisahnya?
“Aduh, sakitnya kepala!” Jerit seorang budak lelaki yang sedang bermain di padang sekolah. Tiba-tiba ada jeritan di tempat buaian di situ.
“Alamak! Apa yang telah aku lakukan ni. Mesti mak marah ni. Kenapa pulak budak tu jerit? Kena dia ke apa yang aku baling tadi?” Getusku dalam hati dengan rasa bimbang teramat. Bimbang mak akan memarahiku. Maklumlah mak ialah guru di sekolah yang sama.
“Cikgu, cikgu. Cikgu! Turunlah sekarang cikgu. Cikgu tengoklah apa yang jadi kat Samir ni cikgu.” Panggil anak murid mak ketika itu emak sedang mengajar kelas tambahan darjah lima.
Aku ketakutan melihatkan keadaan kepala budak lelaki itu telah berdarah. Mengalir darah merah daripada kepalanya membuatkan aku bungkam tanpa kata. Aku terus bersembunyi di balik papan yang ada di tepi bangunan sekolah. Takut mak turun dan memarahiku. Aku pula menangis tersedu di tepi bangunan.
Tepat sekali telahanku. Emak turun dari tingkat dua menuju ke tempat aku bersembunyi. Alangkah kecut perutku apabila Nampak kelibat emak. Emakku memang seorang yang guru yang tegas di sekolah. Aku terus menangis.
Bukan sedih sebab budak lelaki itu yang cedera, tetapi menangis sebab apa aku telah lakukan bangkitkan kemarahan emak. Sudahlah aku tak rapat sangat dengan emak berbanding abah.
“Angah, apa yang awak dah buat ni? Awak tahu tak, salah tu buat macam tu kepada orang, ngah. Awak ni nak jadi apa? Sampai luka kepala budak tu. Apa nak jawab ni ngn mak ayah dia ngah?” Marah mak kepadaku. Aku cuma geleng-gelengkan kepala tak tahu nak jawab apa. Hanya diam membungkam.
“Angah, mak tanya ni ngah. Awak buat apa tadi sebenarnya? Awak tengok budak tu ngah, darah dah mengalir tu. Awak nak masuk penjara ke?” Tanya mak lagi. Aku geleng-gelengkan kepala lagi.
Dalam hatiku amat takut masuk penjara. Aku kecil lagi belum besar. Kenapa kena masuk penjara? Getus hatiku.
“Tak nak masuk penjara mak…Orang tak nak masuk penjara… Orang kecil lagi. Tak nak kena penjara.” Rayu aku kepada mak dengan suara tersekat-sekat menangis hiba.
“Habis tu macam mana? Ayah dia dah datang tu bawak parang. Mak tak tahulah ngah nak buat apa sekarang ni,” sambung mak lagi.
Sedang keadaan kalut begitu, abah datang semacam penyelamat kepadaku. Abah memang akan ambil kami semua selepas waktu sekolah tamat. Kebetulan ketika ayah budak lelaki tu datang, abah sampai sekolah kami. Dalam hati rasa syukur sangat abah sampai tepat masanya. Aku terus berlari mendapatkan abah.
“Ayang, apa yang terjadi sebenarnya? Kenapa sampai macam ni sekali? Angah buat apa kat dia ni, yang?” Tanya abah kepada mak untuk mendapatkan kepastian.
Kulihat abah terus dapatkan ayah budak lelaki tu dan bercakap-cakap dengannya. Kemudian ayah budak tu meninggalkan kami dan membawa anaknya pulang.
“Entahla, bang. Pening dengan anak abang yang sorang ni. Anak kesayangan abang ni dah baling budak tu dengan bongkah kayu sampai luka kepala budak tu. Ayah budak tu datang marah-marah bawa parang. Ayang tak tahu dah nak buat apa. Mujur abang datang.” Jelas mak sambil menjeling marah kepadaku. Ketakutan aku lihat keadaan itu dan bersembunyi belakang abah.
“Abah, orang tak nak masuk penjara. Orang tak sengaja terbaling dia.” Jelasku untuk melindungi diri. Abah memelukku dan mengusap kepalaku.
“Abang, bawalah angah balik. Ayang nak habiskan kelas tambahan.” Ujar mak.
“Angah, mak tak nak angah balik rumah. Faham, ngah?” Getus mak dengan nada marah lagi. Aku terus menangis apabila mendengarnya kerana seolah mak tak sayangkan aku.
“Mak. Orang minta maaf. Orang tak sengaja.” Rayuku kepada mak minta simpati.
Abah terus membawa aku balik ke rumah. Sebelum sampai rumah, abah mengajak aku solat di masjid. Selepas solat berjemaah dengan abah, abah memelukku.
“Angah, mak bukan tak sayangkan angah. Mak terkejut dengan tindakan angah tadi. Abah tahu angah tak sengaja baling budak tu. Angah, nanti angah kena minta maaf pada mak ye balik ni. Marah mak kejap je. Nanti angah minta maaf juga pada budak tu ye.” Lembut abah memujukku.
“Tapi abah, mak tak kasi balik rumah.. Mak kan dah cakap jangan balik rumah.. Orang nak duduk mana lepas ni? Mak tak sayang orang ke abah?” Jawabku dengan sedu.
“Angah, mak tak cakap macam tu. Nanti dah sampai rumah, angah minta maaf pada mak ya. Angah, abah nak ingatkan angah, hadis Nabi Muhammad SAW ada menyatakan siapa yang perlu kita hormati. Nabi sabda, ibumu, ibumu dan ibumu. Kemudian baru ayahmu. Jadi, orang pertama yang angah kena hormati adalah mak dan jaga hati mak, lepas tu baru abah. Angah faham tak abah cakap? Ingat pesanan abah ni sampai bila-bila ye, ngah. Angah kan anak abah.” Lembut nasihat abah hingga kini aku ingatinya.
Kenangan dengan abah ketika usiaku baru menginjak tujuh tahun. Hingga kini masih terkesan dengan nasihat dan kata-kata abah walaupun keduanya telah kembali kepangkuan Ilahi. Nasihat abah agar menghormati dan mengutamakan ibu daripada ayah seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
No comments:
Post a Comment