Kenangan ini kupahatkan dalam tulisan ini buat ibrah semua. Memori bersama seorang lelaki yang sangat kucintai hingga ke saat ini. Tulisan yang membawa semula kisah ketika usiaku lima tahun. Kisah tatkala emak melahirkan adikku yang keempat. Kisah ketika zaman sekolahku bersama abah dan keluargku yang lain.
“Angah, bangun. Bangun, ngah. Mak dah lahirkan adik. Jom tengok mak ngan adik.” Kejut abah dengan lembut pagi itu. Mengajakku ke tempat emak. Aku pula mamai macam orang tak keruan. Dalam hati ini berkata mesti aku akan dapat adik lelaki. Maklumlah masa tu aku merasakan bahawa akulah anak perempuan bongsu abah. Jadi, aku tentunya anak abah.
“Eh, ngah, bangunlah. Kenapa tak bangun lagi ni? Buat-buat tak dengar ye abah kejut,” kejut abah lagi yang melihatkan aku masih membatu.
“Ala, orang ngantuklah abah. Nanti la abah," ujarku sambil tarik selimut semula.
“Bangun ngah, tengok mak.” Ujar abah lagi tak putus asa dengan memimpin tanganku ke luar rumah nyai. Abah membasuh mukaku agar sedar dari mamai. Aku tersengih-sengih lalu abah menjentik telingaku. Sambil abah mencuci mukaku, aku bertanya kepada abah.
“Abah, adik tu lelaki ke perempuan?” Tanyaku pada abah dengan harapan dalam hati abah akan jawab adik lelaki. Namun, lain pula jawapan yang kuterima.
“Perempuan. Angah mesti suka ada kawan, kan?" Jawab abah sambil mengeringkan mukaku.
“Apa? Adik perempuan ke abah? Abah, orang tak nak. Orang nak jadi anak bongsu perempuan. Abah, masukkan balik adik dalam perut mak, boleh? Pastu tukar dia jadi lelaki. Boleh kan, abah?” Aku menjawab dengan menghentak-hentakkan kaki.
Abah terkejut agaknya dengan jawapan aku. Lalu memberikan tamparan kepadaku. Aku terdiam tanpa kata. Pertama kali aku ditampar seumur hidup aku. Aku terus lari ke bilik nyai dan terus menangis. Walaupun tidak sakit, sebenarnya hati ini terluka. Abah datang memujuk dan memeluk diriku.
“Angah, abah minta maaf ye. Abah tak sengaja tadi nak tampar angah. Abah salah sangat. Sepatutnya abah tak perlu tampar angah. Abah minta maaf ye,” ujar abah dengan memeluk dan mengusap kepalaku.
“Angah, apa yang angah cakap tadi abah tahu tu angah tak tahu. Abah minta maaf ye. Abah nak beritahu angah, apa yang angah cakap tadi salah kerana ia adalah apa yang Allah tentukan. Allah dah tentukan yang lahir adalah perempuan. Kita sebagai hamba-Nya tak boleh ingkar apa yang Allah tetapkan. Angah faham tak apa yang abah sampaikan?” Jelas apa panjang lebar. Aku hanya menganggguk tanda faham. Entah setakat mana budak sebesar aku ni mahu memahaminya.
Kenangan bersama Abah. Abah, kurindukanmu... Kini aku hilang tempat kurujuk buat selamanya.
No comments:
Post a Comment