Wednesday, February 10, 2021

Dialah Pembakar Semangatku


Abah memang seorang yang tegas dalam pendiriannya. Pendirian abah terhadap sesuatu perkara itu tetap utuh. Abah juga seorang yang cekal jiwa dalam apa juga cabaran. Jarang sekali kulihat abah menitiskan air mata kekecewaan. Jarang sekali kulihat abah menunjukkan hatinya telah remuk. Abah tidak pernah menunjukkan dia susah atau ada masalah di hadapan anak-anaknya.

Abah menguak daun pintu bilikku dan menjengukku. Padangannya melihatku pada waktu itu dengan penuh rasa gembira. Abah belum tidur lagi ke? Bisikku dalam hati dengan melihat jam di tanganku telah menujukkan hampir kepada 1.00 pagi.


“Angah tak tidur lagi ke? Dah lewat sangat ni, Ngah. Nak tidur pukul berapa?” Tiba-tiba abah menyapaku. Aku yang sedang tekun menaip penulisanku terhenti seketika.


“Oh..Abah. Belum lagi, bah.. Angah nak siapkan sikit lagi tulisan kajian tesis Angah ni, Bah. Abah tak tidur lagi ke? Dah lewat ni, bah”.


“Oh, banyak lagi ke Angah nak habiskan tesis tu, Ngah? Abah tak ngantuk lagi dan tak boleh tidur”.


“Banyak lagi, abah. Tak siap-siap. Ni baru sampai bab 3 pada penulisan kaedah kajian. Pening juga nak habiskan master ni, abah.” Jawabku sambil lihat abah. 


Tulus sangat wajah abah waktu itu dengan keadaannya yang sudah tidak sihat hanya mengengsot ke bilikku semata-mata mahu melihat diriku pada waktu itu.


“Angah, agak-agak habis master tu bila Ngah? Abah dapat tak agaknya pergi ke konvo Angah ye?” Pertanyaan abah menyebabkan aku terpana seketika. 


Allahu Akbar! Abah, Angah tak dapat nak menjawab soalan tersebut sedangkan sekarang pun Angah masih merangkak-rangkak rasanya mahu menghabiskan sarjana ini dengan cepat. Kawan-kawan seperjuanganku yang lain ramai sudah konvokesyen serta telah tamat sarjana mereka. Sedangkan diriku ujian demi ujian diberikan tetapi aku mesti teruskan juga hingga ke perjuangan terakhir ini.


Jawabku dengan nada lemah apabila abah bertanya soalan itu. “Emm..Abah, Angah tak tahulah Abah. Semua kawan-kawan Angah dah habis sarjana mereka. Angah masih lagi terkulat-kulat nak habiskan. Macam dah putus semangat pun ada dah untuk habiskan belajarla, abah.”


“Tak apalah Angah, Allah tahu ujian Angah sewaktu hadapi sarjana ni macam mana. Dengan Angah diberi ujian sakit, Angah kena kuat. Kena Tabah ye. Teruskan ya untuk habiskan sarjana ini. Angah kan jiwa kental, jiwa kuat. Allah sayang sebab tu Allah uji dengan pelbagai ujian, Ngah. Abah sentiasa bagi sokongan pada Angah. Ingat Ngah, teruskan habiskan belajar walau apa juga keadaan. Kalau Abah tak dapat hadiri konvo Angah, Angah ingat, Abah tetap bangga dengan pencapaian Angah. Abah teman Angah ye untuk teruskan taip tesis.” 

Abah memberikan kata-kata semangat kepadaku untuk teruskan perjuanganku dan abah terus menemaniku menaip tesisku di hadapan bilikku.


Masih kuingati lagi, selepas abah mengungkapkan kalimah itu, 2 bulan selepas itu abah telah pergi meninggalkan kami semua buat selama-lamanya. Abah pergi menemui Penciptanya pada hari Ahad 11 Oktober 2015 pada waktu Asar. Abah pergi ketika aku sedang berada dalam kelas sarjanaku pada waktu itu bersama Dr Hut. 


Walaupun peristiwa itu telah berlalu 5 tahun lalu, namun kata-kata semangat yang abah berikan terus kekal dalam minda dan hati ini. Tetap tersemat kukuh dan utuh seutuh jiwamu Abah.


Abah, kini angah telah pun dapat menyelesaikan sarjanaku setelah berhempas-pulas selama lebih kurang 5 tahun lamanya. Dalam tempoh 5 tahun itu, padaku ia adalah satu perjuanganku untuk memberi kejayaan ini kepada Abah. Tekadku pada abah untuk meneruskan lagi cita-cita Abah yang tidak kesampaian untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.


Terngiang-ngiang lagi kata-kata abah kepadaku 5 tahun lalu.

“Angah, nanti bila angah dah habis sarjana ni, teruskan ye untuk sambung cita-cita abah pula dalam bidang Sejarah dan Ketamadunan Islam. Angah sambung  Kedoktoran dalam bidang itu ya. Abah bersyukur sangat akhirnya ada anak-anak abah yang dapat teruskan bidang yang abah minati sangat.”


Abah, kini angah telah dapat menyelesaikan sarjana angah pada akhir 2018, Abah. Angah telah pun dapat konvokesyen dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 13 November 2018 yang lalu. Abah, ini hadiah untuk abah. Tetapi angah amat sedih pada waktu konvokesyen ini kerana Abah tidak ada bersama untuk raikan kejayaan ini bersama-sama. Emak pula waktu itu sedang berada di ICU di Hospital Sultanah Nora Batu Pahat. 


Abah, pada waktu para graduan berdiri dan memberikan penghargaan kepada Ibu Bapa mereka masing-masing semasa dalam dewan konvokesyen, angah rasa sebak sangat Abah. Kerana pada masa itu insan yang amat angah sayangi dan cintai yang banyak berkorban untuk angah tidak ada bersama-sama meraikan kejayaan ini. 


Kejayaan angah ini untukmu abah. Di kejauhan rasa dengan sebak dan sayu dalam dewan konvo, menitik juga airmata ini. Abah, kini anakmu mengambil semangatmu dan mengambil kata-katamu sebagai panduan hingga kini. 


Kata-kata abah yang paling diingati saat-saat terakhir bersama Abah ketika abah di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan.


“Angah, angah kena kuatkan jiwa dan tabahkan hati. Angah kena kental hadapi apa juga cabaran dan liku ya. Angah anak perempuan abah yang sangat kuat jiwa, kental hati dan begitu tabah dari dulu hingga kini dengan apa juga cabaran dan ujian. Jangan mudah patah semangat ye.” 

Itulah kata-kata terakhir yang abah berikan kepadaku sebelum abah pergi buat selama-lamanya.


Abah, akan angah ingat kata-kata abah sampai akhir hayat angah. Angah tetap teruskan perjuangan angah dan tetap tabah dalam apa juga cabaran mendatang. Buatmu abah, semoga tenang di sana dan Semoga abah bersama para solihin dan golongan yang beriman.


Al-fatihah untuk Arwah Abahku Hj Ahmad bin Kemin





No comments:

Post a Comment